PETALING JAYA – Sudah menjadi lumrah buat sesetengah pelajar memasang impian untuk menimba ilmu di sekolah berasrama penuh (SBP) namun tidak semua mampu memperolehi peluang tersebut.
Menerusi sebuah video dimuat naik di media sosial, seorang pelajar tahun enam meluahkan perasaan sedih kerana hasratnya tidak kesampaian selain kecewa ibunya membandingkan kegagalan masuk ke SBP dengan rakan lain.
“Tadi ibu saya cakap dia malu nama saya tiada dalam kumpulan kelas yang dapat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau SBP,” ujarnya.
Selain itu, pelajar itu menceritakan ayat yang dikeluarkan ibu beliau termasuk membandingkan dengan sahabatnya yang berjaya meneruskan pelajaran ke Kolej Tunku Kurshiah (TKC).
“MRSM tak dapat, SBP tak dapat, nak jadi apa ni? Dulu nak sangat TKC, sekarang apa pun tiada,” antara kata-kata yang dikeluarkan ibunya.
Sementara itu, pelajar tahun enam itu turut berkata bahawa dia sedih ibu bapanya tidak menghargai penat lelah dia belajar dengan gigih untuk menghadapi peperiksaan.
Dalam pada itu, rata-rata komen pengguna media sosial lain memberi sokongan serta semangat kepada pelajar tersebut dan mengatakan bahawa zaman persekolahan hanya satu permulaan untuk kejayaan lain.
“MRSM, SBP, sekolah harian biasa semua sama sahaja,kalau kita rajin belajar, mana-mana pun boleh, sabar dan tunjukkan dekat ibu yang awak hebat,” ujar Syah.
“Percayalah nanti di universiti, tak banyak persaingan. Kadang-kadang budak MRSM/SBP yang mintak kita ajar. Pedulikan apa ibu awak cakap, teruskan usaha,” komen Qiqi. – KOSMO! ONLINE