fbpx

Guna ruang bahas perhimpunan sebaik mungkin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAU 2021 bakal menggegarkan WTCKL dengan kehadiran 5,571 perwakilan seluruh negara sepanjang empat hari bermula semalam. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Ketua Pe­nerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menyeru agar semua pembahas menggunakan ruang perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 ke arah pemantapan dan kesepakatan parti.

Menurutnya, ruang bahas yang diberikan di persidangan ini adalah satu medium bagi memastikan parti keramat Melayu ini te­rus mantap dan mendapat kepercayaan rakyat.

“Gunakan ruang yang ada untuk kita bersama berbahas ke arah pemantapan dalaman parti di samping mencari kesepakatan seluruh kepimpinan.

“Kita perjelas apa yang perlu dan kemudian perkemaskan saf sebelum sebagai satu pasukan mara ke medan ujian penamat penggal ini iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU),” katanya.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut mengucapkan selamat datang dan selamat bersidang kepada para perwakilan PAU 2021 yang bermula semalam sehingga Sabtu ini.

“Semoga Allah rahmati perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanah air yang tercinta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Perge­rakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menyifatkan PAU 2021 sebagai sebuah perhimpunan yang istimewa kerana diadakan selepas memenangi dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka pada 20 November tahun lalu dan Johor pada 2 Mac lalu.

“Pastinya (PAU 2021) lebih istimewa dengan semangat baharu pasca kemenangan di PRN Me­laka dan Johor. Salam UMNO sebuah perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

urus setia menguruskan proses daftar beberapa perwakilan pada PAU 2021 di WTCKL, Kuala Lumpur semalam.- MUHAMAD IQBAL ROSLI

Dalam pada itu, Zahida berkata, beliau bersyukur PAU 2021 akhirnya dapat diadakan selepas tertangguh akibat pandemik 2021 sebelum ini.

PAU 2020 yang dijadualkan diadakan pada 27 November 2020 terpaksa ditangguhkan berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat ketika itu.

Berikutan itu, PAU 2020 diadakan pada Mac tahun lalu, manakala PAU 2021 dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022.

Bagaimanapun PAU 2021 ditangguhkan sekali lagi susulan bencana banjir menyebabkan terdapat bahagian UMNO tidak dapat mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berharap kepimpinan parti dapat memikirkan kaedah dan jalan penyelesaian terbaik bagi perkasakan semula Muafakat Nasional (MN).

Jelasnya, penyelesaian tersebut penting agar perpaduan Melayu dan Islam dapat diperkasa dan diperkukuhkan lagi selepas ini.

“Sebagai ahli parti sudah tentu kami akan akur dengan segala keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seperti ketetapan mengadakan PRU.

“Kemenangan pada PRN Johor baru-baru ini adalah hasil daripada semangat dan tungkus lumus semua pihak, sema­ngat tersebut akan kami bawa ke Sungai Petani agar jentera parti dapat dipersiapkan bagi meng­hadapi PRU pada bila-bila masa,” katanya.

Perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan dilakukan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka.

PAU 2021 ini kemudian dite­ruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat sebelum menutup tirai dengan penggulungan pemimpin parti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI