YAN – Seorang gadis sanggup berhenti kerja untuk menjaga bapanya yang terlantar selepas mengalami pendarahan pada kepala akibat terjatuh di dalam tandas rumahnya di sini tahun lalu.
Menurut Suhaila Mohd. Shuib, 24, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat sejak tiga bulan lalu kerana tahap kesihatan bapanya, Mohd. Shuib Abdullah, 62, semakin merosot.
Katanya, bapanya hanya mampu terlantar selepas menjalani pembedahan membuang darah beku pada kepala penghujung November tahun lalu.
“Pembedahan itu turut menyebabkan sebahagian tempurung kepala bapa terpaksa dikeluarkan dan sejak itu kesihatannya terus merosot.
“Melihat keadaan bapa, saya nekad berhenti kerja untuk mencurahkan bakti kepada bapa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Keda Singkir Badong di sini baru-baru ini.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia juga kasihan kepada ibunya, Rohana Aziz, 57, yang terpaksa menguruskan bapanya selepas pulang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang di Sungai Petani.
Suhaila mempunyai seorang abang yang telah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala adik perempuan yang bekerja sebagai pembantu kedai bahan binaan tinggal bersamanya.
Rohana pula berkata, keputusan Suhaila yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga bapanya telah meringankan tugasnya untuk mencari pendapatan buat keluarga.
“Jika saya tidak bekerja di mana hendak mencari duit untuk menanggung kos susu khas, pampers, ubat-ubatan dan membeli peralatan sedut kahak suami yang mencecah hampir RM1,500 sebulan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun 7045797529 CIMB milik Rohana Aziz.