fbpx

Dua lelaki diberkas curi tong sampah RORO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beh Eng Lai menunjukkan tong sampah RORO dicuri dua suspek di sekitar daerah Sentul.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas dua lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan curi lima tong sampah pukal (RORO) di sekitar daerah Sentul pada 19 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun itu ditahan di Bandar Baru Sentul dan Kampung Laksamana Batu Caves pada Jumaat lepas.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek akan mencuri tong RORO yang diletakkan di hadapan deretan kedai dan sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran.

“Suspek bertindak mewarnakan semula atau memadamkan nama syarikat yang tertera di permukaan tong RORO sebelum disewakan dengan harga RM200 hingga 400 sehari bagi mendapatkan hasil lumayan,” katanya ketika sidang akhbar di Balai Polis Jinjang, di sini hari ini.

Menurut Eng Lai, pihaknya turut merampas lima tong RORO yang dianggarkan bernilai RM 40,000 dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk membawa tong terbabit.

Jelasnya, kedua-kedua suspek itu dipercayai aktif melakukan jenayah curi tong sampah RORO sejak tahun lalu dan semakan awal mendapati keduanya mempunyai pelbagai rekod berkaitan kes jenayah.

“Dua suspek lelaki itu telah direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI