KIEV – Berpuluh-puluh bayi yang dilahirkan menggunakan kaedah ibu tumpang dilaporkan terkandas dan sedang dijaga di sebuah klinik sementara di pinggir bandar Kiev, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Menurut laporan, keadaan yang terlalu bahaya menyukarkan kemasukan pasangan suami isteri untuk mengambil 21 bayi itu di tengah-tengah serangan udara yang berlaku.
Seorang jururawat, Oksana Martynenko bersama rakan-rakan sekerjanya dilaporkan menjaga bayi-bayi berkenaan di ruang bawah tanah.
“Kami tidak boleh meninggalkan bayi-bayi ini. Bukan salah ibu bapa mereka kerana tidak boleh datang mengambil bayi-bayi ini,” kata Martynenko.
Hanya dua pasangan dari Jerman dan Argentina setakat ini berjaya mengambil bayi-bayi mereka. Tidak dijelaskan bila pasangan tersebut dibenarkan membawa keluar bayi mereka ke luar negara.
Ukraine merupakan sebuah hab ibu tumpang antarabangsa yang melahirkan beribu-ribu bayi setiap tahun.
“Kami tidak mempunyai masa untuk berehat. Ia sangat sukar,’’ kata seorang jururawat yang keletihan bernama Antonina Yefymovych. – Agensi