fbpx

APMM bongkar taktik nelayan bubu naga guna GPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM merampas bubu naga di perairan Tanjung Jaga di Yan pada petang semalam.

ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah membongkar taktik baharu sebilangan nelayan menggunakan sistem pengesanan global (GPS) bagi menentukan kedudukan bubu naga yang dipasang di perairan negeri ini.

Helah tersebut dikesan susulan rampasan 24 set bubu naga atau kambang dalam operasi pemantauan Ops Aman di kedudukan 1.1 batu nautika perairan Tanjung Jaga di Yan dekat sini pada petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pemantauan mendapati sebahagian set bubu naga berkenaan menggunakan pengesanan GPS berbanding penandaan pancang seperti sebelum ini.

“Ini merupakan taktik terbaharu yang digunakan pemilik bubu naga bagi mengelak daripada dikesan seterusnya peralatan itu dirampas oleh penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, penggunaan bubu naga dilihat menjadi pilihan kepada segelintir nelayan tidak bertanggungjawab kerana ia hanya memerlukan modal yang rendah, namun mampu meraih keuntungan besar.

“Namun begitu, penggunaan bubu naga ini boleh mengancam dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua bubu naga dianggarkan bernilai RM2,880 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI