fbpx

Aku bukan diva, aku lejen okey! – Ogy Ahmad Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAUZIAH AHMAD DAUD

PETALING JAYA – “Saya bosan dengan budaya kerja dan mereka yang melacurkan seni. Cukup!”

Itu penegasan yang terbit dari bibir seniwati hebat tanah air, Fauziah Ahmad Daud berhubung budaya dan kualiti kerja dalam industri sinema tempatan yang disifatkannya semakin songsang.

“Saya amat kecewa dengan budaya kerja belakang tabir industri kita. Saya sangat-sangat kecewa.

“Kebanyakan mereka tidak faham skop kerja, tanggungjawab dan tidak mempunyai tahap pemikiran kritis.

“Misalnya, penolong pengarah hanya buat jadual, itu salah. Kalau berdepan dengan saya, saya nak berdebat sebab kerja yang kamu buat itu, saya dah buat,” kata Fauziah atau mesra  disapa dengan panggilan Ogy.

Jelas Ogy, 60, beliau tidak takut untuk bersuara demi kemajuan industri kreatif tanah air dan menjadi tanggungjawabnya untuk membetulkan budaya atau amalan kerja yang salah.

“Saya dulu disuruh pasang ‘cable’, pasang itu ini sebab saya nak belajar. Sekarang usaha seperti itu sudah tiada dan budaya kerja generasi sekarang dah songsang.

“Cukup dengan semua ini! Macam mana industri kita nak maju kalau terus begini? Saya berguru bukan dengan calang-calang orang. Allahyarham Jins Shamsuddin dan Saadiah antara guru saya dan mereka bukan ‘asal boleh’ punya orang.

“Jadi, saya nak betulkan urat-urat saraf yang dah haywire (kusut). Orang cakap usia saya dah 60 tahun pergi bersara, saya tak nak sebab saya nak betulkan dan fahamkan tanggungjawab sebagai orang seni.

“Generasi yang terlibat sekarang secara berleluasa ego tak bertempat. Kemudian cakap kita pula diva. Eh nak sahaja saya cakap ‘aku bukan diva, aku lejen okey’,” getusnya.

Disebabkan itu, Ogy muncul dengan filem pendek pertama arahannya sepanjang tempoh 50 tahun berkecimpung dalam dunia seni yang diberi judul Asrar.

MAJLIS pratonton filem pendek Asrar arahan Ogy yang berlangsung semalam.

Dalam Asrar, Ogy turut bekerjasama dengan tenaga produksi yang rata-rata merupakan pelajar daripada bengkel lakonan kelolaannya sekitar November tahun lalu.

Filem Asrar boleh ditonton menerusi pembelian khas secara atas talian dalam laman web rasmi Ogy Venture & Network.

Skrip filem berkenaan ditulis oleh bekas wartawan hiburan serta penulis lirik, Slen Fadzil. Asrar merupakan adaptasi daripada karya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) hasil tulisan Baharuddin Kahar berjudul Terima Kasih, Tuhanku.

Lebih menarik lagu runut bunyi filem berkenaan juga merupakan nyanyian bekas wartawan hiburan dan personaliti televisyen, Zainal Alam Kadir bertajuk Duniaku.

Duniaku adalah hasil karya Datuk Johari Salleh yang pertama kali dirakam pada tahun 1968 oleh Allahyarham S. Ahmad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI