fbpx

2 penjawat awam didakwa buat tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafizah (kiri) dan Azarudin (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat tuntutan palsu RM7,200, tujuh tahun lalu. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Dua penjawat awam dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM7,200, pada 2016.

Tertuduh, bekas Penolong Pegawai Tadbir, Hafizah Ab Talib, 44, dan Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Azarudin Asrap, 43, tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Hafizah yang kini bertugas di Kementerian Pertahanan memperdayakan prinsipalnya, ILP Tangkak suatu dokumen kertas kerja dan sebut harga yang mengandungi butir matan palsu.

Hafizah didakwa telah menggunakan kertas kerja dan sebut harga untuk pembayaran perkhidmatan kursus atas nama Jati Selatan Services and Trading berjumlah RM7,200 sedangkan perkhidmatan kursus tersebut tidak dilaksanakan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di ILP Tangkak di KM 43, Jalan Segamat, Tangkak pada bulan November sehingga Disember 2016.

Bagi pertuduhan itu, wanita tersebut didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Sementara itu, Azarudin pula dituduh bersubahat dengan Hafizah menggunakan kertas kerja bengkel dan sebut harga kursus dengan butir matan palsu yang sama untuk menuntut bayaran atas nama Jati Selatan Services and Trading berjumlah RM7,200, sedangkan perkhidmatan kursus tersebut tidak dilaksanakan.

Dengan itu, Azarudin didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Mengikut pendakwaan itu, kedua-dua tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala Hafizah diwakili peguam MJ Pereira dan Azarudin tidak diwakili peguam.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara pasport mereka diserahkan kepada mahkamah buat kedua-dua suspek.

Mahkamah tetapkan sebutan semula kes pada 19 April ini untuk serahan dokumen dan memberi ruang bagi Azarudin untuk melantik peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI