PETALING JAYA – UMNO belum pulih sepenuhnya daripada hukuman keras bangsa Melayu pada tahun 2018 biarpun menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO mesti meneroka usaha kembali menjadi wakil politik bangsa Melayu yang benar-benar diyakini orang Melayu.
“UMNO mesti mempunyai strategi dan sasaran yang jelas. Pertama, menjadi parti politik terkuat dan paling dominan di Malaysia.
“Telah tiba masa semua orang Melayu kembali ke pangkuan UMNO. Kedua, memenangi pilihan raya dengan majoriti besar untuk membentuk kerajaan stabil.
“Ketiga, UMNO mesti menampilkan pimpinan kerajaan yang mendapat mandat padu, berwibawa dan mampu memacu pembangunan Malaysia dengan lebih berganda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini.
Mohamad berkata, strategi keempat adalah mengurus generasi millineal kerana hingga sekarang belum ada petanda jelas bahawa UMNO telah meyakinkan mereka.
Menurut beliau, strategi terakhir adalah mengurus harapan orang Melayu yang semakin ‘sosphiticated’ hasil urbanisasi dan modenisasi.
Bagaimanapun, katanya, UMNO belum pulih sepenuhnya, tetapi telah mula kembali menguat untuk memberi saingan terkuat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Semuanya hasil dari ikhtiar kita untuk menguatkan kembali parti. Kita membuktikan pada semua bahawa kita bukan itik patah kali.
“Kita mungkin tercedera, tetapi masih boleh berjalan dan berlari. UMNO akan terus menjadi kaki dan tangan kepada rakyat,” tegasnya.
Mohamad seterusnya berkata, Barisan Nasional (BN) boleh menang PRU Ke-15 (PRU-15) kerana prestasi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sangat berbeza dengan BN.
Kata beliau, agenda lawan BN tidak diasaskan kepada realiti semasa dan pencapaian mereka adalah gambaran jelas ‘kerajaan kakistokrasi’ (kerajaan yang gagal).
Tambah beliau, UMNO malah kini paling ke hadapan dalam penyertaan besar-besaran calon baharu, memperjuangkan akta khas mencegah lompat parti dan Undi18.
Justeru, beliau menggariskan beberapa persiapan UMNO untuk berdepan PRU-15 termasuk menampilkan kemajmukan dan kepelbagaian bagi meyakinkan segmen bukan Melayu.
Ujar beliau, strategi kedua adalah UMNO mesti melebarkan sokongan dalam kalangan Melayu bandar dan ketiga, UMNO memerlukan ‘visi yang konkrit’ untuk Malaysia.
“Keempat, kita harus memutuskan secara strategik, siapa yang kita mahu ajak berpakat dan formula perkongsian kuasa yang bagaimana harus kita tawarkan.
“Yang pasti kita tidak akan mengajak berpakat parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Apalagi DAP dengan agenda cauvinismenya,” tegasnya lagi. – KOSMO! ONLINE