PETALING JAYA – Penyanyi Stacy berkongsi berita gembira apabila akhirnya mengaku kini sedang hamil empat bulan.
Berita gembira itu terpaksa ‘dibocorkan’ selepas disoal oleh penyanyi dan juga pengacara, Elly Mazlien ketika menjadi tetamu dalam program MeleTOP, malam tadi.
Stacy, 31, yang hadir ke program tersebut dengan berpakaian serba hitam kelihatan terkejut dan serba salah selepas tiba-tiba disoal tentang dakwaan bahawa dirinya dikatakan sedang hamil oleh Elly.
“Ramai cakap Stacy sekarang sedang hamil. Betul ke?” tanya Elly.
Sambil ketawa besar, pemilik nama lengkap Ummu Syaikhah Stacy Anam itu akhirnya terpaksa mengakui dan mengesahkan perkara tersebut.
“Kalau dah tak boleh nak tutup, sudah ‘pecah lubang’, betullah tu (hamil). Alhamdulillah, saya sedang hamil empat bulan,’ kata Stacy.
Ujar isteri kepada Akim Ahmad itu turut memberitahu dia tidak boleh lagi berahsia kerana perutnya juga semakin membesar.
“Tidak boleh hendak sembunyikan lagi. Perut dah besar,” jawabnya.
Sekadar info, Stacy yang juga seorang mualaf mendirikan rumah tangga bersama vokalis kumpulan Akim & The Majistret itu pada 5 Februari 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Eshaal Afiq Hakim yang kini berusia lima tahun.
Stacy sebelum itu telah mengambil seorang anak angkat bernama Bella De Luna Valentina yang kini berusia sembilan tahun. -KOSMO! ONLINE