SHAH ALAM – Selangor menjadi negeri kedua mengumumkan tidak berhasrat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebaliknya pentadbiran sedia ada akan meneruskan sehingga habis penggal.
Tegas beliau, tiada keperluan bagi pihaknya untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti kukuh di Selangor.
“Baru-baru ini, saya ada membuat perbincangan dengan beberapa Menteri Besar yang dikuasai kerajaan PH dan kami sepakat untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Untuk Selangor, beberapa projek berkepentingan rakyat akan dilaksanakan kerajaan terkini seperti Skim Jaminan Air Mentah (SeJAM) yang akan dibuat tahun ini.
“Jadi, lebih baik kita fokus kepada hal yang melibatkan kepentingan rakyat berbanding survival beberapa parti politik,” katanya selepas melancarkan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor (SRAMS) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi PH Selangor meminta semua parti lawan bersabar sehingga tibanya PRU-15 untuk menawan negeri itu.
Sejak berakhirnya PRU14, tiga buah negeri iaitu Sabah, Melaka dan Johor telah mengadakan PRN kerana pihak kerajaan kesemua negeri itu tidak memiliki kerusi majoriti.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata, hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan.
Aminuddin turut memaklumkan perkara itu turut juga dilakukan lima buah negeri lain. – KOSMO! ONLINE