GELOMBANG Covid-19 menjadikan industri seni tempatan bergerak perlahan sementelah ada ketika semua aktiviti seni terpaksa ‘dibekukan’ buat sementara waktu.
Situasi tersebut bagaimanapun bukanlah alasan buat figura terkenal dengan gelaran Papa Rock, Datuk Ramli Sarip untuk berehat.
Dalam keadaan ramai anak seni kecundang dan menukar haluan karier demi kelangsungan hidup, penyanyi asal Singapura itu tetap mempertahankan momentum.
Biarpun ‘kakinya’ terikat di Singapura kerana pintu sempadan antara Malaysia – Singapura pernah ditutup untuk satu tempoh agak lama, beliau tidak mengalah, sebaliknya menggunakan tempoh ‘rehat’ sebaik mungkin dengan membikin karya baharu.
Bertitik tolak dari situ, terzahirlah album Rasa selepas sembilan tahun penyanyi yang popular dengan lagu Kamelia itu menyepi tanpa sebarang buah tangan baharu.
“Album ini terhasil ketika pandemik Covid-19 mula melanda. Waktu itu saya berada di Singapura dan tidak boleh ke Malaysia. Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan, kerana kebiasaannya saya di rumah paling lama tiga hari, kemudian akan keluar bekerja.
“Disebabkan pandemik saya tidak boleh ke mana-mana, jadi saya mula membikin album. Sekurang-kurangnya ada kerja untuk dibuat.
“Alhamdulillah, walaupun ada kekangan terutama dari segi pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu dipatuhi, Rasa dapat disiapkan dalam waktu yang agak cepat iaitu sekitar tiga bulan sahaja,” ujar Ramli Sarip membuka bicara.
Bagi penyanyi yang telah menghasilkan 21 buah album sepanjang setengah abad karier seninya, Rasa disifatkan satu daripada karya terbaiknya.
Album yang memuatkan 10 buah lagu antaranya, Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih, Srikandi Zaman dan Orang Tua Bersidi Sakti tersebut disulami pelbagai elemen muzik tetapi masih berpaksi kepada identiti Ramli Sarip.“Album ini adalah satu peningkatan dalam diri saya.
Malah, ketika membikinnya memberi pengalaman rohani yang manis buat saya.
“Semasa proses rakaman, tiga, empat kali saya dan pemuzik mengalirkan air mata.
“Lagu-lagu dalam album ini membuatkan kami semua terkenang rakan-rakan yang telah dijemput Ilahi dan keluarga dalam keadaan kita semua tersekat kerana pandemik.
“Meskipun perit dan sedih, segala emosi itu memberi saya inspirasi untuk berkarya,” kongsi Ramli.
Dalam keadaan semua anak seni sudah semakin jarang menghasilkan album penuh dan dalam bentuk fizikal, Ramli menongkah arus dengan berani.
Fizikal
Tidak memikirkan keuntungan semata-mata, tegas Ramli album Rasa dihasilkan atas dasar tanggungjawab dan kepuasan selaku anak seni.
“Pertama sebab saya suka dan ini kerja saya. Kedua kerana tanggungjawab dan ketiga kerana Allah sudah kurniakan ilham kepada saya. Semua itu bukan percuma, jika tidak diangkat menjadi satu nilai murni (dalam bentuk lagu) maka rugilah.
“Tidak semua orang boleh membawa muzik ke arah positif. Insya-Allah jika diizinkan saya mempunyai 30 buah lagu baharu dalam simpanan. Jika ada rezeki saya akan hasilkan juga dalam bentuk album,” tutur Ramli.
Berbicara tentang penjualan album secara fizikal menerusi cakera padat (CD) yang sudah jarang berlaku dek kebanyakkan karya dijual secara digital, Ramli memiliki alasan tersendiri.
Jelasnya, kepuasan emosi menikmati sebuah album secara fizikal sangat berbeza dengan karya yang dibeli secara digital.
“Saya buat album secara fizikal sebab rasa nikmatnya berbeza daripada dengar lagu yang hanya dicucuk (secara digital).
“Jika album fizikal boleh diamati helaian liriknya dan perlu ambil masa untuk memasang lagu.
“Contohnya menonton bola di stadium dan di rumah ada beza rasa semangat itu, begitulah jika mendengar album secara fizikal berbanding digital.
“Ada orang masih inginkan CD untuk disimpan sebagai kenangan atau koleksi. Jadi, bagi saya permintaannya masih ada,” katanya yang mampu menjual sekitar 60 CD album terbaharunya setiap kali mengadakan persembahan pentas.
Tetap akur dengan perubahan teknologi, Ramli tidak juga menolak penjualan album secara digital.
Pihaknya juga mempunyai strategi untuk penjualan digital album Rasa.
“Saya tidak menolak digital, selepas ini album Rasa tetap akan dijual secara digital kerana lebih mudah dan menyeluruh penjualannya, tetapi harus menunggu masa yang sesuai.
“Semua orang hendak untung, tetapi saya mahu peminat menikmati nilai yang ada dalam album ini terlebih dahulu. Saya tidak fikirkan sangat soal keuntungan kerana rezeki Allah yang beri.
“Buat masa ini saya mahu fokus terhadap penjualan album fizikal terlebih dahulu. Selain mengembalikan nostalgia, saya juga dapat beramah-mesra dan menurunkan tanda tangan di atas cakera padat buat peminat,” tuturnya.
Pengorbanan
Selepas dua tahun tidak bertemu dengan peminat di Malaysia, Ramli meluah kerinduannya dengan merancang mahu membikin sebuah konsert mini sekitar hujung tahun ini
Kehadirannya di Malaysia kali ini bukanlah untuk berlibur, sebaliknya, mempunyai misi untuk mempromosikan album Rasa dan ditutup dengan sebuah konsert istimewa.
“Saya datang ke Malaysia kali ini bukan untuk suka-suka. Saya tinggalkan keluarga di Singapura untuk mencari rezeki di sini. Fokus saya lebih ramai orang dapat menikmati lagu-lagu dalam album Rasa,” luah Ramli.
Meluahkan rindunya terhadap suasana industri muzik sebelum era pandemik, kata Ramli anak seni kini perlu bijak menyesuaikan diri dan melakukan pengorbanan demi kelangsungan hidup.
Sebagai penyanyi, beliau sendiri terpaksa mengorbankan pegangannya.
Antaranya lebih mesra teknologi dan mempelajari banyak perkara baharu selain lebih terbuka soal privasi diri.
“Selama menjadi penyanyi, saya tidak pernah membenarkan media atau pihak televisyen datang ke rumah untuk membuat rakaman.
“Namun, kerana pandemik buat pertama kalinya pihak televisyen datang ke rumah untuk merakam saya bermain muzik ketika musim pandemik.
“Saya tidak boleh menolak kerana waktu itu memang sukar untuk kita mengadakan sebarang persembahan, jadi dengan cara tersebut publisitinya lebih meluas dan saya mula terbuka,” kata Ramli lagi.
Meskipun pandemik ‘membekukan’ karier kebanyakan anak seni, beliau bersyukur kerana masih diberi rezeki mengadakan persembahan secara dalam talian.
“Terlalu banyak yang saya belajar, tidak pernah melakukan persembahan secara dalam talian, tetapi kerana Covid-19, saya buat dan mendapat respons yang baik daripada peminat.
“Sekurang-kurangnya saya masih ada cara untuk mencari rezeki di kala semua orang dipaksa duduk di rumah sahaja.
“Cara saya membikin lagu juga berbeza dan cara berfikir juga semakin kritis. Tidak boleh berada di takuk lama dan hanya menunggu untuk semuanya kembali okey.
Sebaliknya, saya harus bergerak untuk maju ke hadapan,” terangnya.
Bercerita lanjut tentang Covid-19, lelaki berusia bersuara garau itu tidak gentar untuk bekerja seperti biasa meskipun virus berbahaya tersebut sehingga kini masih menular.
Pernah dijangkiti Covid-19 dua minggu sebelum menjejakkan kaki di Malaysia pada bulan lalu, Ramli menegaskan sudah sampai masanya untuk masyarakat ‘bersahabat’ dengan virus yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pergi.
“Walaupun saya sudah tua, saya tidak takut dengan Covid-19. Saya sudah terkena jangkitan virus tersebut dan hanya alami selesema dan batuk.
“Mungkin kerana saya sudah lengkap vaksinasi dan mengambil tiga dos suntikan penggalak.
“Selain, saya masih sihat dan tiada sebarang penyakit serius. Sejak muda saya tidak merokok dan mengamalkan diet yang sihat, Allah kurniakan kesihatan yang baik pada usia sekarang. Bagi saya pandemik atau tidak, nyawa kita semua di tangan Allah.
“Jadi tidak perlu gentar, jalani hidup seperti biasa. Sudah sampai masanya kita perlu hidup bersama virus ini. Cuma setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, jadi ambillah daripada sudut positif,” tuturnya.