fbpx

Pilihan terakhir suami jadi suri rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
HARRITH HISHAM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

REALITI lelaki bergelar suami menjadi suri rumah sepenuh masa kini bukan lagi suatu perkara asing dan mula diterima dalam kalangan masyarakat.

Malah, situasi itu turut dilihat meningkat atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan se­perti suami hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Kosmo! minggu lalu turut melaporkan pendapatan isteri yang lebih tinggi berbanding suami juga menyebabkan lebih ramai lelaki sanggup menjadi suri rumah sepenuh masa.

Ini kerana, walaupun perbe­lanjaan isi rumah memerlukan kos yang tinggi, namun tindakan itu sebaliknya membantu golo­ngan ini untuk berjimat dalam menguruskan kehidupan terutama yang tinggal di bandar besar.

Namun, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhid­matan Sumber Manusia, Universiti ­Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, suami yang membuat pilihan sedemikian perlu melakukan pertimbangan.

“Ia seharusnya menjadi pilihan terakhir setelah mempertimbangkan beberapa perkara yang melibatkan kos dan pendapatan yang diperoleh.

“Malah, situasi itu hanya praktikal bagi jangka masa pendek dan bukanlah pilihan yang bijak bagi tempoh jangka panjang.

“Jika gagal diperhalusi secara harmoni, dikhuatiri akan menimbulkan kesan sampingan yang boleh menjejaskan kefungsian dalam keluarga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, perlu difahami bahawa tugas sebagai suri rumah ini bukan sesuatu yang mudah sebaliknya memerlukan kecekapan dan keprihatinan tertentu.

Sementara itu, Siti Fatimah berkata, perspektif masyarakat juga terikat dengan kebiasaan dan norma sosial bahawa bapa adalah ketua keluarga.

“Dari segi didikan di sekolah dan agama juga sangat jelas me­nyatakan peranan seorang bapa sebagai sumber utama pendapatan isi rumah melainkan kes-kes terpencil seperti hilang upaya, sakit atau diberhentikan kerja.

“Selain daripada faktor tersebut, adalah masih janggal jika seorang bapa menjadi suri rumah, manakala isteri ulang alik ke tempat kerja.

“Pun begitu, itu adalah pilihan buat setiap pasangan, maka tidak menjadi kesalahan. Apa yang penting, bagaimana suami isteri dapat memainkan peranan dalam mendidik anak-anak,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sekiranya suami tiada halangan untuk be­kerja, mereka perlu menanggung nafkah keluarganya.

“Rasulullah SAW pernah bersabda yang membawa maksud: “Jika seseorang itu mencari kayu api dan menjualkan-nya, itu adalah lebih baik dari dia meminta-minta”.

“Justeru, walaupun gaji isteri 10 kali ganda berbanding suami, suami masih perlu memberi nafkah kepada isteri dan jumlahnya bergantung kepada kemampuan suami,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI