KUALA KANGSAR – Seorang pemandu treler maut apabila kenderaan dipandunya kemalangan dengan treler lain di Kilometer (KM) 231.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini pagi tadi.
Identiti mangsa disahkan sebagai Abd. Rahim Sulaiman, berumur sekitar 50an.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.12 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu mangsa melanggar belakang sebuah lori treler lain.
“Mangsa tersepit pada ruang pemandu dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan,” ujarnya.
Anggota bomba telah bertindak membantu mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai PBK II Abdul Aziz Mohd Noor itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.17 pagi.