ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi memulakan tugas secara rasminya pagi ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap tiba di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, di sini kira-kira 10 pagi disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.
Yang turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan.
Ketibaan Onn Hafiz dimulakan dengan upacara ringkas serta bacaan doa diikuti dengan sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.
Beliau kemudian menandatangani perakuan memulakan tugas rasminya di pejabat Menteri Besar.
Semalam, Kosmo! melaporkan Onn Hafiz mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira 3 petang semalam.
Beliau menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini.
Onn Hafiz yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor amat aktif dalam pergerakan generasi muda.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu lalu, BN meraih kemenangan besar dengan mencatatkan kejayaan dua pertiga apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi.
Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi.
Cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.-KOSMO! ONLINE