fbpx

MH17: Malaysia akan ambil bahagian dalam prosiding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA hakim, Hendrik Steenhuis (kanan) bersama hakim-hakim perbicaraan dan peguam-peguam lain berdiri di sebelah bangkai pesawat MH17 di pangkalan tentera udara Gilze-Rijen, selatan Belanda pada 26 Mei 2021. - AFP

PUTRAJAYA – Malaysia akan mengambil bahagian dalam prosiding berhubung tragedi melibatkan MH17 melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) seiring Konvensyen Chicago.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, kerajaan mengambil maklum bahawa Kerajaan Australia dan Belanda telah memulakan tindakan undang-undang bersama terhadap Rusia berhubung nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.

“Tindakan undang-undang tersebut difailkan menerusi ICAO di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

“Malaysia akan mengambil bahagian dalam prosiding yang melalui ICAO ini seiring Konvensyen Chicago,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Malaysia mengulangi komitmennya dalam menuntut keadilan buat keluarga mangsa nahas MH17 termasuk 43 warga Malaysia, seterusnya mengheret pihak bertanggungjawab melalui proses kehakiman yang dijalankan secara telus di bawah undang-undang antarabangsa.

“Malaysia komited untuk memastikan proses perundangan berjalan dengan telus, boleh dipercayai dan konklusif. Pendekatan Malaysia kekal bahawa segala kesimpulan mestilah dibuat berdasarkan bukti kukuh.

“Malaysia menggesa semua negara dan pihak yang terlibat memberi kerjasama sepenuhnya terhadap perbicaraan ini selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014),” tegasnya.

Sementara itu, katanya, proses undang-undang yang menyeluruh mesti diteruskan dalam usaha mengheret pelaku jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke muka pengadilan demi membela mangsa nahas MH17 dan keluarga mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI