KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kes bunuh dan bakar seorang wanita di kawasan sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras pada Sabtu lalu dijangka dapat dilengkapkan dalam minggu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihak polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan.
“Setakat ini kita sudah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan dan berkemungkinan masih ada individu lain akan dipanggil.
“Kita akan berusaha melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin dijangka dalam minggu ini sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” ujarnya kepada pemberita ketika Program Penyerahan Van Jenazah Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia kepada Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dekat sini hari ini.
Pada masa sama, menurutnya, setakat ini hanya seorang suspek iaitu pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah terbabit yang sudah ditahan bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan semakan, suspek yang berusia 30-an dan masih bujang itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan cabul dan samun,” ujarnya.
Tegas beliau, pihaknya berharap siasatan berhubung kes ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin kerana kejadian berkenaan sangat tragis dan tidak berperikemanusiaan.
Terdahulu, mayat seorang penyelia kedai buku berusia 25 tahun ditemui dalam keadaan menyayat hati disyaki dibunuh dan dibakar hingga rentung di dalam bilik bengkel kemahiran hidup sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, susulan kejadian itu pihak polis berjaya memberkas seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah terbabit berusia 30-an bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE