BACHOK – Jenazah isteri kedua Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Melawi di sini pada pukul 10.45 pagi tadi.
Jenazah Wan Sofiza Eliana Wan Yusof, 42, dibawa ke Masjid Mukim Melawi di sini kira-kira pukul 10.10 pagi tadi dengan diiringi kereta peronda polis.
Nik Muhammad Zawawi mengimamkan solat jenazah Wan Sofiza Eliana di masjid berkenaan bersama-sama makmum yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan barisan kepimpinan Pas.
Wan Sofiza Eliana meninggal dunia di kediamannya di Taman Kosas, Ampang, Selangor pada pukul 1.05 petang semalam akibat penyakit kanser pangkal rahim yang dihidapinya sejak tahun lalu.
Allahyarhamah meninggalkan seorang anak lelaki dan dua perempuan berusia tujuh hingga tiga tahun sepanjang 10 tahun perkahwinannya bersama Nik Muhammad Zawawi.
Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan arwah isterinya sebelum ini.
“Hidup dan mati adalah ketentuan Allah SWT. Ia perlu diinsafi dengan terus melaksanakan kebaikan dan amal makruf kerana kita adalah hambanya yang amat kerdil.
“Saya telah membacakan talkin kepada arwah isteri. Bacaan itu juga untuk peringatan kepada saya sendiri bersama kaum keluarga dan kenalan yang hadir agar terus taat terhadap perintah-Nya,” katanya. – KOSMO! ONLINE