fbpx

Hadiah Ernie Zakri untuk Syamel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UJAR Ernie, lagu Korban dicipta untuk menghargai segala pengorbanan yang dilakukan oleh Syamel sepanjang tempoh dirinya hamil anak sulung.

SEBELUM selamat melahirkan cahaya mata sulung iaitu seorang puteri pada 22 Februari lalu, penyanyi bersuara lantang, Ernie Zakri sempat menghasilkan sebuah single terbaharu berjudul Korban yang dicipta sepenuhnya oleh dirinya sendiri.
jelas Ernie, Korban merupakan merupakan projek terakhir sebelum dia melahirkan anak sulung dan cuti bersalin selama 60 hari untuk proses berpantang.

“Saya masih lagi berkesempatan merakamkan sebuah lagu khas buat orang-orang tersayang dalam hidup saya, terutamanya buat suami tercinta.

“Konsep lagu Korban memang kena sebenarnya dengan keadaan saya yang sedang hamil (ketika itu). Pelbagai pengorbanan telah Syamel (suaminya) lakukan bukan sahaja sebagai ketua keluarga, bahkan sebagai seorang bakal bapa,” ujarnya.

Sepanjang bergelar anak seni, Ernie banyak menyimpan kisah suka serta duka yang diterjemahkannya ke dalam lagu. Ujarnya, lagu Korban mempunyai maksud yang sangat istimewa dalam hidupnya.

“Saya ciptakan lagu ini bagi menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh Syamel. banyak yang telah ditempuhinya sepanjang saya mengandung.

“Bayangkanlah perasaan beliau ketika itu, dengan keadaan arwah umi (ibu Syamel) yang sedang tenat di hospital, manakala saya pula sedang hamil, tak dapat saya ungkapkan.

KORBAN merupakan sebuah lagu khas yang dicipta sendiri Ernie untuk suami tercinta, Syamel.

“Maksud lagu Korban ini besar maknanya. Pengorbanan pasangan dalam menjaga perhubungan ketika susah atau senang,” katanya.

Masih mengetengahkan genre balada pop, Korban juga terselit unsur dramatik untuk memberi ‘jiwa’ pada lagu tersebut.

“Kalau pendengar hayati melodinya, agak melankolik sama seperti lagu Gundah yang pernah saya nyanyikan sebelum ini. Namun penghayatannya tidaklah terlalu sedih.

“Saya hanya mengambil masa selama 1 jam lebih untuk merakamkan lagu ini kerana lirik, melodi dan komposisinya hasil ciptaan saya sendiri.

“Namun pengalaman yang paling menarik sudah tentunya merakamkan single ketika hamil di Studio Kharisma di Petaling Jaya. Saya bersyukur berjaya akhiri tugas tersebut,” jelasnya.

ERNIE ZAKRI selamat bergelar ibu selepas melahirkan cahaya mata sulungnya pada 22 Februari lalu.

Dalam pada itu, Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 30, berharap supaya single terbaharunya itu diterima dan disukai ramai kerana mesej yang dibawakan sangat positif.

Lagu Korban boleh dimuat turun di iTunes Store mulai 18 Februari 2022 dan dijadikan sebagai nada dering panggilan di syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Sementara lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Rocketfuel Network pada tarikh yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI