GOLONGAN peneroka serta pekebun kelapa sawit di seluruh negara dan mereka yang memiliki simpanan emas yang banyak ketika ini mungkin boleh tersenyum lebar.
Apa tidaknya, harga buah tandan sawit segar di pasaran semalam mencecah sehingga RM1,538 untuk satu tan berbanding Mei tahun lalu hanya sekitar RM1,000 untuk satu tan, manakala harga emas pula semalam mencatat harga RM262.84 untuk satu gram berbanding sekitar RM235 satu gram sebelum perang Rusia-Ukraine meletus.
Kenaikan harga komoditi sawit dan emas itu pastinya memberi kesan positif bukan sahaja kepada pekebun kelapa sawit serta mereka yang melabur dalam pembelian emas sebelum ini, malah limpahan ekonominya juga bakal dinikmati sektor-sektor bisnes yang lain.
Kuasa beli dalam kalangan 492,00 pemilik kebun kelapa sawit di seluruh negara pastinya akan meningkat dan ia akan membuatkan para peniaga yang sebelum ini terkesan dengan pandemik Covid-19 boleh kembali tersenyum apabila lebih ramai mempunyai wang untuk membeli.
Begitulah juga halnya dengan pemilik-pemilik barang kemas serta mereka yang melabur dalam sektor emas kerana khabarnya, ramai yang sudah mula membuat pengambilan untung dengan menjual sebahagian daripada emas mereka.
Ada yang menggunakan hasil jualan tersebut untuk menambah modal perniagaan, malah tidak kurang juga untuk menampung perbelanjaan anak-anak untuk sesi persekolahan baharu.
Yang pasti, kenaikan harga kelapa sawit dan emas ketika ini bakal mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih baik kepada negara kerana ia akan memberi manfaat kepada ramai orang.
Bagaimanapun, di sebalik keseronokan itu, perang Rusia-Ukraine juga turut menyebabkan harga minyak dunia melonjak menggila.
Harga minyak mentah Brent pada 20 Ogos 2021 hanya mencatat AS$64.85 setong, namun kini ia mencecah sekitar AS$100 setong semalam.
Ia mungkin satu berita baik untuk Petronas dan negara, tetapi tidak kepada pengguna yang memandu kereta setiap hari untuk pelbagai tugas harian termasuk sektor pengangkutan baik di darat, laut dan udara yang operasi mereka bergantung kepada minyak.
Harga jualan runcit untuk RON 95 dan diesel ketika ini masih kekal pada paras RM2.05 dan RM2.15 seliter dengan bantuan subsidi daripada kerajaan, tetapi sampai bila ia boleh bertahan. Untuk RON 97 pula harganya telah melonjak sehingga RM3.75 seliter.
Jika harga minyak dunia terus melonjak, sudah tentu ia bakal memberi masalah kepada kita.
Bagi rakyat yang sedang menikmati kenaikan harga komoditi terutamanya kelapa sawit dan emas, mungkin kena lebih beringat dalam menguruskan kewangan masing-masing kerana kadar harga yang tinggi ini mungkin tidak kekal lama. Buatlah persediaan sewajarnya untuk menghadapi keadaan bila harga jatuh kelak.
Bagi pihak kerajaan pula, keputusan menaikkan harga runcit petrol dan diesel pastinya akan menyukarkan lagi kehidupan rakyat yang kini ramai yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.
Ingat, sebarang kenaikan harga minyak, pastinya akan disusuli dengan kenaikan harga barangan-barangan lain juga. Jadi buatlah keputusan yang bijak demi rakyat. -KOSMO! ONLINE