LONDON – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola tidak akan menekan butang panik selepas menyaksikan pasukannya keciciran dua mata berharga apabila seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad The Citizens hanya memiliki kelebihan empat mata selaku pendahulu liga diekori rapat oleh pencabar utama, Liverpool yang akan menentang Arsenal awal pagi esok.
Kata Guardiola, barisan pemainnya telah memberikan 100 peratus di atas padang dalam usaha mencari gol bagi memburu kemenangan, tetapi setiap peluang yang diraih gagal diterjemahkan dengan baik.
“Saya tidak mahu mengkritik barisan pemain yang telah mencurahkan segala yang termampu, tetapi inilah lumrah bola sepak, apabila anda gagal menyudahkan rentetan peluang keemasan, anda tidak akan menang.
“Pujian juga wajar diberikan kepada pasukan lawan yang memberikan kesukaran buat kami beraksi seperti biasa.
“Ini disebabkan kualiti dan kepantasan yang ada pada jentera serangan mereka, selain sokongan luar biasa daripada penyokong tuan rumah
“Kini, saya menyeru agar pemain terus fokus untuk mengharungi baki sembilan perlawanan yang perlu diharungi, selain berusaha untuk terus melebarkan jurang mata dengan Liverpool, meskipun mereka memiliki kelebihan satu perlawanan.
“Tekanan kini sudah tentu terarah kepada mereka kerana perlu menang pada baki satu perlawanan menentang Arsenal nanti dan sudah tentu ia aksi yang menarik untuk dilihat. Tumpuan pemain pula terarah untuk aksi menentang Southampton minggu ini,” katanya. – AGENSI