PETALING JAYA – Bangsa Melayu paling terhimpit disebabkan pandemik Covid-19 serta kedudukan politik dan ekonomi yang tidak memberangsangkan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, terdapat beberapa indikator penting menunjukkan bangsa Melayu sangat terhimpit waktu ini.
Menurut beliau, indikator pertama sebanyak 90 peratus usahawan Bumiputera termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan risiko kegagalan perniagaan dan muflis.
“Kedua, ekuiti korporat Bumiputera amat rendah pada 17.2 peratus pada 2021 berbanding 23 peratus pada 2011 dan 19.3 peratus (1990).
“Ketiga, wang simpanan persaraan semakin susut susulan pengeluaran wang melalui inisiatif i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini.
Mohamad berkata, kadar kemiskinan mutlak Bumiputera juga diunjur terus meningkat kepada 12 hingga 15 peratus pada 2022 akibat peningkatan kos sara hidup.
Kata beliau, indikator keempat adalah kadar pengangguran Bumiputera meningkat kepada 4.5 peratus pada suku tahun keempat 2021 iaitu seramai 416,500 orang.
Tegas beliau, semua kesusutan itu sangat membimbangkan dan UMNO yang berikrar sebagai pembela orang Melayu tidak boleh sekadar berpeluk tubuh.
“Sebagai parti teras bangsa Melayu, kemaslahatan orang Melayu adalah kemaslahatan UMNO. Kemerosotan orang Melayu adalah kemerosotan UMNO,” katanya. – KOSMO! ONLINE