KUALA LUMPUR – Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mengundang orang ramai untuk mengimbas kembali nostalgia berbuka puasa di kampung dengan hidangan bufet meliputi lebih 300 juadah bertemakan Aneka Selera Desa pada Ramadan ini.
Diadakan di Legar Putra WTCKL, bermula 5 hingga 29 April ini dari pukul 6 petang hingga 10 malam, bufet tersebut ditawarkan pada harga RM128 bagi seorang dewasa dan RM75 bagi warga emas serta kanak-kanak (berumur tujuh hingga 12 tahun).
Turut tersedia kemudahan menunaikan solat maghrib, isyak berserta tarawih di Surau Ar-Rahman terletak di Aras 3 yang selesa, berhawa dingin dan mampu memuatkan 100 jemaah dengan penjarakan fizikal.
Pengarah Komunikasi Pemasaran WTCKL, Intan Tantiyana Puteri Jaafar berkata, barisan cef WTCKL yang diketuai Cef Eksekutif, Suzaini Mohamed Salih akan menyediakan pilihan menu istimewa dengan lima giliran berbeza setiap minggu.
“Tetamu boleh menikmati hidangan klasik desa seperti ikan patin goreng sambal hijau, daging rendang minang, ketam goreng dengan cili kering dan bawang putih serta sotong masak kari dengan nanas.
“Terdapat juga ulam-ulaman Melayu seperti daun Ceylon, ulam raja, petai, daun pegaga, jering, terung pipit, jantung pisang, pucuk ubi, tenggek burung, daun gajus, tujuh jenis kerabu serta kambing golek.
“Tahun ini, kami bekerjasama dengan Nasi Kandar Saddam yang popular di ibu kota menyajikan hidangan nasi kandar,” katanya pada sesi liputan media juadah Ramadan yang diadakan baru-baru ini.
Pelanggan juga boleh membawa pulang hidangan untuk kegunaan bersahur menggunakan mangkuk tingkat edisi terhad yang dijual pada harga RM59 dan RM69 untuk saiz berbeza.
Baucar bufet boleh didapati di saluran online seperti Fave, PrestoMall, Shopee, Lazada serta laman web Restoran Riverside dan pelanggan turut ditawarkan harga pembelian awal pada RM108 seorang sehingga 4 April. – KOSMO! ONLINE