PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berminat untuk terbabit dalam mana-mana persatuan bola sepak tempatan termasuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Walaupun pernah bergelar ‘jeneral’ pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM ketika bergelar Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid menegaskan, keutamaannya ketika ini adalah membabitkan diri dalam dunia politik.
“Saya tidak berminat untuk terlibat dalam mana-mana persatuan bola sepak biarpun pernah menjadi Presiden Pafa (Persatuan Bola Sepak Perak). Saya juga pernah terlibat menjulang nama pasukan ATM dan PDRM sewaktu menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri ketika itu.
“Justeru, saya menafikan laporan media tertentu bahawa saya adalah calon baharu Presiden KLFA yang memenangi Piala Malaysia tahun lalu. Tumpuan saya masa ini adalah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO sebaik mungkin.
“Melaksanakan sejujurnya amanah diberikan oleh akar umbi untuk mengembalikan kegemilangan UMNO dan BN dalam persada politik tanah air,” katanya menerusi ciapan di media sosial Facebook.
Sebelum ini, nama Zahid disebut-sebut untuk mengetuai KLFA bagi menggantikan Khalid Samad, namun Ahli Parlimen Shah Alam tampil menjelaskan yang beliau tidak bercadang untuk ‘bersara’ dalam dunia bola sepak.
Kuala Lumpur City FC bimbingan Bojan Hodak berjaya menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga keenam dengan mengumpul 33 mata selain menamatkan kemarau 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia.