AMPANG JAYA – Penghuni rumah berhampiran lokasi tanah runtuh yang berlaku Khamis lalu di Taman Bukit Permai 2, di sini dijangka terpaksa mengosongkan rumah sehingga tempoh sebulan selagi susulan tindakan pasukan teknikal sedang dijalankan.
Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23, Mohamad Samat berkata, kesemua penghuni terjejas termasuk 15 rumah di Taman Bukit Permai 1, di sini perlu bersedia untuk mencari tempat tinggal sementara kerana proses kajian serta tindakan pasukan teknikal dipercayai boleh mengambil waktu lama.
“Secara peribadi, mangsa yang terjejas perlu bersedia untuk mengosongkan rumah dalam tempoh lama sekurang-kurangnya dua minggu dan boleh mencecah sehingga sebulan.
“Tindakan selanjutnya akan dibincang serta diputuskan pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: 15 rumah rosak, empat mangsa tertimbus
Berita berkaitan: 15 rumah diarah berpindah
Selain itu, beliau menegaskan, kebajikan serta pengurusan penghuni rumah yang tidak mempunyai tempat tinggal akan sentiasa dijaga.
“Kepentingan mangsa yang terjejas daripada aspek kebajikan, fizikal dan emosi akan ditekankan serta diusulkan di dalam mesyuarat berkala bersama JMG, Ikram, JKR dan PDRM,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, sebarang kerja pembersihan masih belum diputuskan pasukan teknikal kerana kajian berhubung pergerakan tanah sedang giat dijalankan.
Dia juga tidak menolak kemungkinan gelongsoran tanah baharu akan berlaku jika keadaan cuaca buruk berterusan.
“Jika cuaca tidak menentu dan hujan berterusan, bahagian atas cerun berpotensi untuk terjadi runtuhan tanah susulan, namun perlu menunggu laporan rasmi dari JMG berhubung keselamatan penduduk di Taman Bukit Permai 1,” tambahnya.