PETALING JAYA – Syarikat bunker minyak terkemuka, Straits Energy Resources Berhad yang tersenarai di Pasaran ACE (Straits) telah maju selangkah lagi dengan penyertaan dalam landskap 4G/5G melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat tidak langsungnya, Straits CommNet Solutions Sdn. Bhd. (Straits CommNet) dengan EdgePoint Towers Sdn. Bhd. (EdgePoint Towers).
EdgePoint Towers adalah entiti operasi untuk EdgePoint Group di Malaysia yang menyediakan
keperluan infrastruktur telekomunikasi pengendali rangkaian mudah alih dengan lebih daripada
800 menara, memegang kedua-dua lesen NFP (Penyedia Kemudahan Rangkaian) dan NSP
(Penyedia Perkhidmatan Rangkaian).
Ketua Pegawai EKsekutif Straits CommNet, Sunny Ho Khin Choy berkata, kedua-dua pihak berhasrat untuk mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dan menyertai peluang perniagaan yang luas dalam 4G dan 5G.
Selain itu, ia juga adalah untuk melancarkan rangkaian persendirian, transformasi digital dan aspirasi IR4.0 minyak dan gas, pengurusan pelabuhan serta sektor pengangkutan melalui Teknologi Pintar dan IoT di Malaysia dan serantau.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan EdgePoint, yang membuat kemajuan besar dalam memacu pengembangan penyelesaian sambungan generasi akan datang bagi penyedia rangkaian
telekomunikasi di seluruh rantau ASEAN.
“Melalui kerjasama ini, Straits CommNet akan menjadi pembekal penyelesaian dan peralatan untuk melengkapkan penawaran infrastruktur telekomunikasi EdgePoint di Malaysia dan serantau,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin menerangkan, langkah pemodenan dan kemajuan masa depan pelbagai sektor perindustrian adalah usaha yang menawarkan peluang luas bagi perniagaan yang berminat untuk mengejar potensi yang besar.
“EdgePoint Towers bersedia untuk mengoptimumkan infrastruktur generasi akan datang kami untuk mencapai matlamat bersama dengan Straits CommNet,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE