LONDON – Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Sharps mengesahkan bahawa semua sekatan Covid-19 berkaitan pelancongan domestik dan antarabangsa akan ditamatkan pada Jumaat ini, lapor Badan Penyiaran British (BBC).
Buat masa ini, semua orang yang melancong ke Britain mesti melengkapkan borang maklumat vaksinasi penumpang tiba di negara tersebut.
Pengembara yang belum menerima vaksinasi penuh juga perlu mengambil ujian Covid-19 sebelum berlepas, mengisi borang, dan menempah serta membayar ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) selepas tiba.
Menerusi pengumuman tersebut, ia bermakna status vaksinasi penumpang tidak lagi menjadi syarat utama dan mereka tidak lagi perlu mengambil ujian Covid-19 sebelum dan selepas perjalanan ke Britain.
“Perubahan ini mungkin disebabkan oleh pelancaran vaksin kami dan bermakna kebebasan yang lebih besar ketika sambutan Hari Easter,” tulis Sharps.
Langkah terbaharu itu disambut baik oleh beberapa tokoh dalam industri pelancongan yang sudah memohon agar peraturan itu digugurkan supaya perniagaan dapat memanfaatkan sepenuhnya permintaan percutian musim panas akan datang.
“Pengumuman hari ini menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa sektor pelancongan Britain kini kembali,” kata Ketua Eksekutif Badan Perdagangan Airlines Britain,Tim Alderslade. – Agensi