PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu mengelak daripada membayar tol sehingga membahayakan kenderaan lain menjadi tular di media sosial.
Tindakan pemandu tersebut yang berjaya dirakam kamera papan pemuka turut mendapat kecaman daripada pengguna media sosial.
Menerusi video berdurasi satu minit 12 saat itu, pemandu tersebut dilihat mengikut rapat kereta dihadapannya dipercayai bagi mengelak membayar tol.
Pemilik video berkenaan kemudian dilihat cuba menghalang perbuatan pemandu tersebut dengan memperlahankan kenderaannya.
Bagaimanapun, tindakan itu hanya sia-sia selepas pemandu tersebut berjaya meloloskan diri malah turut melanggar kenderaan pemilik rakaman itu.
Kejadian dipercayai berlaku di Plaza Tol Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) semalam.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan pemandu tersebut yang disifatkan tidak bertanggungjawab.
“Kalau tidak ada duit, bawa motosikal sajalah. Bila buat macam ini, sudah menyusahkan orang lain juga,” kata Eddie.
“Tol pun dia tak mahu bayar, inikan lagi bayar ganti rugi kereta orang. Cabut larilah, apa lagi,” ujar Nazief pula.
“Bagi aku, kalau dia tak mahu bayar tol biarkan sahaja. Bukan kamu yang rugi, pandai-pandai syarikat tol cari. Dari buat tindakan sendiri, kamu yang susah,” kata Alan.
Sehingga kini, video berkenaan telah ditonton lebih 100,000 kali. – KOSMO! ONLINE