SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang bekerja sendiri sebagai ‘runner’ dipenjara sehari dan didenda RM17,500 selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan pengeluaran lesen memandu pada 2017.
Tertuduh, Mohamad Khairie Marzuki, 28, sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebagai dorongan untuk pegawai badan awam di Jabatan Pengangkutan Jalan yang dikenalinya bagi mengeluarkan lesen memandu kelas B2 dan D tanpa perlu melalui ujian memandu pada 2017.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini dan Mohammad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Zaki.
Mohamad Khairie membayar denda tersebut hari ini. Dia turut dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal di sini sejurus keputusan itu bagi menjalani hukuman penjara selama sehari. – KOSMO! ONLINE