fbpx

Rakyat jangan alpa amalan kesihatan selepas fasa endemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berharap rakyat tidak alpa pada amalan kesihatan serta langkah pencegahan Covid-19 walaupun setelah beralih pada fasa endemik 1 April ini.

Baginda bertitah, umat Islam perlu berhati-hati bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dalam suasana riang dan ceria.

“Sudah dua tahun umat Islam tidak berpeluang merayakan Aidilfitri bersama anggota keluarga dan sanak-saudara.

“Untuk itu, rakyat terutamanya umat Islam perlu berhati-hati. Beta akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkaitan sebelum menetapkan garis panduan dan nasihat kepada institusi agama Islam, masjid dan surau,” titah Baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-170 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Titah Baginda, peralihan fasa kepada endemik membolehkan orang ramai bergerak dan lebih bebas melakukan aktiviti, namun ia tidak bermakna ancaman wabak berkenaan sudah berakhir.

“Rakyat wajib dinasihatkan agar bersama membantu usaha negara bagi meminimumkan jangkitan serta melindungi negara daripada menghadapi gelombang baharu,” titah Baginda.

Sultan Nazrin juga mengingatkan Orang-Orang Besar Negeri terutama Orang Besar Jajahan agar berperanan aktif memantau aktiviti di masjid sewaktu Ramadan kelak.

Titah Baginda, ini kerana agama Islam serta institusi yang mengendalikannya terletak di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI