TAMPIN – Tindakan seorang pemandu van warga Pakistan yang memandu secara berbahaya berhampiran replika Nombor 66 di Jalan Seremban-Tampin membawa padah apabila dikenakan dua saman oleh pihak polis kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, saman bernilai keseluruhan RM600 yang dikeluarkan mengikut Peraturan 6 (1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) bagi kesalahan mengubah haluan dan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
Menurutnya, sebaik menerima aduan, polis telah menjalankan siasatan berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan dan mendapati pemandu yang tular itu merupakan lelaki warganegara Pakistan berusia 46 tahun.
“Pemandu van tersebut bekerja di kedai elektrik dan jika gagal menjelaskan bayaran saman dalam tempoh dua bulan, dia bakal berhadapan dengan tindakan mahkamah.
“Kita nasihatkan mana-mana kenderaan yang ingin mengubah haluan membelok ke kiri atau kanan jalan perlulah memastikan keadaan selamat dari kedua dua arah sebelum mengubah haluan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Terdahulu, tular video berdurasi 11 saat memaparkan pemandu van berkenaan nyaris menyebabkan kemalangan berlaku apabila mengubah haluan secara tiba-tiba.
Perkongsian berkenaan membangkitkan pelbagai reaksi netizen termasuk dakwaan beberapa pengguna media sosial pernah mengalami keadaan yang sama dengan pemandu serta van yang sama di sekitar Tampin, namun tidak mempunyai bukti untuk membuat aduan. – KOSMO! ONLINE