PADANG BESAR – Projek strategik berimpak tinggi, Perlis Inland Port (PIP) di Chuping dekat sini diyakini mampu merancakkan lagi perdagangan dan perniagaan rentas sempadan dengan Thailand yang kini mencatatkan nilai dagangan RM96.78 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Persekutuan komited dengan projek tersebut menerusi penyediaan tiga infrastruktur luaran iaitu jajaran keretapi, jejambat dan bonded road dengan peruntukan RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Penubuhan PIP tepat pada masanya bagi merancakkan lagi perdagangan dengan Thailand serta mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“Antara projek strategik tersebut ialah Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) dan Perlis Super Fruits Valley,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan PIP dan Bonded Road di CVIA di Chuping dekat sini hari ini.
Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis pelancaran PIP tersebut yang turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohammad Haris Kader Sultan.
PIP dijangka menyumbang sebanyak RM2.8 bilion terkumpul untuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Perlis serta mewujudkan 500 peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat negeri itu menjelang 2030. – KOSMO! ONLINE