PETALING JAYA – Golongan pekebun kecil kelapa sawit disarankan agar lebih bersedia kerana harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka tidak kekal pada paras luar biasa dalam tempoh yang lama dan dijangka kembali pulih seawal suku ketiga tahun ini.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, jangkaan ini dibuat bersandarkan kepada jangkaan pemulihan pengeluaran minyak sawit dan minyak sayuran utama di pasaran dunia pada separuh tahun kedua 2022.
Menurut beliau, harga minyak sawit dijangka kekal tinggi sehingga April/Mei tahun ini disebabkan krisis Rusia-Ukraine, polisi eksport MSM Indonesia dan masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan, sebelum diunjurkan turun bermula Jun hingga September kesan daripada musim pengeluaran sawit yang tinggi.
“Kejatuhan harga MSM bakal menyebabkan harga buah tandan segar (BTS, yang dijual pekebun kecil sawit) turut menurun di pasaran.
“Secara keseluruhannya, penganalisis pasaran meramalkan harga MSM akan kembali stabil pada tahun ini dengan MPOB mengunjurkan harga purata MSM berada pada RM4,250 satu tan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Harga MSM telah mencapai paras luar biasa baru-baru ini, dengan purata harga harian menjangkau RM8,076.50 satu tan pada 2 Mac lalu, iaitu paras tertinggi dalam sejarah industri.
Ia berkait rapat dengan kenaikan harga minyak mentah Brent, selain peningkatan harga pesaing utama, iaitu minyak kacang soya yang diniagakan lebih tinggi sehingga mencecah AS$1,947 (RM8,188) satu tan pada 7 Mac. -KOSMO! ONLINE