fbpx

Onn Hafiz bakal MB Johor ke-19?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nama Onn Hafiz (kiri) disebut-sebut bakal dilantik Menteri Besar Johor ke-19 menggantikan Hasni (kanan).

JOHOR BAHRU – Spekulasi isu pelantikan Menteri Besar Johor ke-19 bertiup kencang apabila nama bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut bakal dilantik.

Onn Hafiz yang memenangi kerusi Dewan Undangan Dun (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu dipercayai bakal diangkat menggantikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohamad.

Khabar angin ini semakin kencang apabila Hasni mengeluarkan kenyataan rasmi semalam mencadangkan kepimpinan kerajaan negeri Johor Bahru diterajui orang muda.

“Melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor.

“Kerajaan negeri dibawah pimpinan saya telah beriktiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Kosmo! turut difahamkan pelantikan Menteri Besar baharu dijangkakan diadakan pada pukul 3 petang ini di Istana Johor.

Desas-desus Onn Hafiz mahu diangkat sebagai Menteri Besar sejak beliau kali pertama bertanding di DUN Layang-Layang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi.

Kelmarin, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Hasni akan menjadi calon tunggal dikemukakan kepada Sultan Ibrahim untuk pertimbangan dilantik sebagai Menteri Besar.

Onn Hafiz, 44, adalah cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar dan jika dilantik sebagai Menteri Besar ke-19, beliau mengulangi sejarah moyangnya itu yang memegang jawatan sama selepas dilantik pada 1 Jun 1947.

Beliau adalah muka baharu yang dilantik ke barisan EXCO Makmur Johor, selepas Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Onn Hafiz memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan selain aktif dalam advokasi orang muda termasuk menerusi pertubuhan bukan kerajaan Southern Volunteers, yang ditubuhkan hasil visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau juga anak saudara kepada Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Kanan Pertahanan. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI