KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menilai dasar sedia ada bagi meminimumkan kebergantungan terhadap import makanan ternakan haiwan dalam usaha memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian dalam negara mencukupi.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, penilaian berhubung pengimportan termasuk jagung dan soya itu adalah sebagai langkah dan strategi jangka masa panjang negara.
“Kementerian telah membuat perbincangan secara mendalam dan melihat beberapa dasar kebergantungan kita terhadap beberapa import bahan makanan (haiwan ternakan) yang kita mampu keluarkan sendiri.
“Jagung sebagai contoh kita mampu tanam dan keluarkan jagung dengan keluasan tanah di negara kita, tetapi dasar kita (sebelum ini) tidak menumpu pada pengeluaran jagung dan kebergantungan kita mengimport dari negara luar,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Che Alias Che Hamid (PN-Kemaman) mengenai langkah-langkah proaktif yang diambil oleh MAFI dalam memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi berikutan konflik antara Rusia dan Ukraine yang masih berterusan.
Ronald berkata, isu berhubung sumber bahan mentah dan input pertanian yang berlaku sekarang bukan disebabkan oleh konflik antara Rusia dan Ukraine, tetapi disebabkan pandemik Covid-19.
Menurut beliau, penutupan sempadan, kenaikan harga minyak mentah dan banyak lagi faktor lain yang menjadikan kos pengangkutan dan pengimportan kompenan makanan ternakan haiwan mengalami peningkatan. – KOSMO! ONLINE