fbpx

Kepuasan mendaki di hujung minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NOOR (kanan) dan Mohd. Zulkernian (duduk) bergambar bersama rakan-rakan pendaki lain daripada Santai Hikers sebaik tiba di puncak Gunung Baling.

Mendaki sememangnya menjadi antara aktiviti diminati ramai khususnya dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Sama ada mendaki secara santai di lokasi mempunyai tahap kesukaran rendah, mahupun gunung-ganang yang mempunyai trek pendakian lebih sukar, kedua-duanya mempunyai penggemar tersendiri.

Bagi sekumpulan pendaki dari Lembah Klang yang menggelarkan diri mereka sebagai Santai Hikers, aktiviti itu dilakukan berpaksikan matlamat untuk mengeratkan ukhuwah sesama rakan, selain menikmati keindahan alam semula jadi di setiap lokasi pendakian.

Sempena cuti penggal persekolahan baru-baru ini, seramai tujuh pendaki daripada kumpulan itu melakukan program pendakian santai di Gunung Baling dan Gunung Pulai di Kedah yang dilakukan dalam masa dua hari berturut-turut.

Seorang pendaki, Norzilawati Ishak, 48, berkata, dia menyertai aktiviti itu kerana ingin menikmati keindahan alam dari atas puncak Gunung Pulai yang dikatakan sangat indah dan menarik.

“Selama ini, saya hanya melihat gambar-gambar daripada pendaki lain mengenai keindahan Gunung Pulai, terutama jika diambil pada waktu pagi ketika matahari naik.

“Selepas mendapat tahu ada rakan-rakan merancang untuk mendaki gunung ini, saya terus daftarkan nama.

“Alhamdulillah, hasrat untuk menakluk puncak Gunung Pulai dan bergambar di atasnya akhirnya tercapai.


NORZILAWATI (kanan) berpuas hati apabila dapat menyaksikan sendiri pemandangan indah dari puncak Gunung Pulai.

“Malah, saya juga berpeluang mendaki Gunung Baling, sekali gus menambah koleksi peribadi mengenai gunung yang saya daki sejak aktif dalam aktiviti ini empat tahun lalu,” katanya.

Kata Norzilawati, dia juga merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu yang dijadualkan pada September depan bersama rakan-rakan, selain turut bercita-cita untuk melakukan pendakian di luar negara termasuk Anapurna Base Camp dan Everest Base Camp di Nepal suatu hari nanti.

Bagi seorang lagi pendaki, Mohd. Zulkernian Mohd. Noor, 55, aktiviti mendaki sudah semakin sebati dalam dirinya walaupun sebelum ini dia lebih menggemari aktiviti berbasikal.

Katanya, program mendaki Gunung Baling dan Gunung Pulai itu merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan sebagai persediaan untuk mendaki Gunung Tahan, Pahang yang dirancang dilakukan pada Mei nanti.

“Sebelum ini, saya hanya berpengalaman mendaki gunung yang mempunyai tahap kesukaran rendah dan sederhana, selain tidak pernah bermalam lebih daripada satu hari di dalam hutan.

“Disebabkan program mendaki Gunung Tahan itu nanti akan memakan masa antara empat hingga lima hari dengan tahap kesukaran lebih tinggi, maka saya perlu bersedia lebih awal dari segi mental dan fizikal.

“Jadi, saya jadikan pendakian ke Gunung Baling dan Gunung Pulai ini sebagai latihan, selain ingin bersama rakan-rakan dalam Santai Hikers untuk beraktiviti pada hujung minggu,” jelasnya.

Sementara itu, pendaki berpengalaman, Mohd. Noor Mat Amin, 55, yang turut menyertai kumpulan pendaki itu berkata, pendakian ke dua gunung berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dirancang sejak dua bulan lalu.


PENDAKIAN ke puncak Gunung Pulai agak mencabar kerana ia dimulakan pada awal pagi.

Dia yang turut dikenali sebagai Pendaki Solo memberitahu, berdasarkan perancangan awal, seramai 10 orang pendaki menyatakan minat untuk menyertai program pendakian berkenaan, tetapi ada yang terpaksa menarik diri pada saat akhir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Pada program pendakian kali ini, kami memilih Gunung Baling dan Gunung Pulai kerana kedua-duanya terletak di Kedah dan dapat didaki dalam tempoh kurang dari enam jam bagi kedua-dua hala pendakian.

“Pendakian ke puncak Gunung Baling agak santai kerana hanya perlu melalui trek tanah dari bawah hingga ke puncak.

“Tetapi di Gunung Pulai, pendakian agak mencabar kerana kami perlu melalui trek berbatu pada waktu malam dengan jarak penglihatan sangat terhad, selain agak berbahaya daripada mula hingga ke puncak.


PENDAKI perlu berhati hati ketika menaiki dan menuruni puncak Gunung Pulai kerana treknya yang berbatu dan berbahaya.

“Walaupun kedua-dua gunung ini dikategorikan sebagai puncak rendah kerana berketinggian kurang dari 1,000 meter, namun pemandangan dari puncak sangat cantik,” katanya.

Tambahnya, sebagai salah seorang ahli kumpulan Santai Hikers dan berpengalaman luas dalam aktiviti mendaki gunung, dia sentiasa berkongsi pengalaman berkenaan pendakian terutama kepada pendaki baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI