KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan sebanyak 15 notis kepada tiga institut memandu selepas didapati melakukan kesalahan melibatkan Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM) dan syarat permit dalam operasi khas hari ini.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kesalahan yang dilakukan institut memandu antaranya adalah SKIM tamat tempoh dan tidak mematuhi syarat Permit Institut Memandu yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelesenan Institut Memandu.
Menurutnya, selain itu, institut memandu juga didapati melakukan kesalahan teknikal terhadap kenderaan SKIM iaitu gagal menyelenggara kenderaan.
“Dalam operasi khas ini, sebanyak 100 buah kenderaan institut memandu turut diperiksa. Tujuan operasi dijalankan adalah untuk memastikan pihak institut memandu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
“Pemeriksaan menyeluruh dibuat agar kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan baik selain selamat untuk tujuan pembelajaran di litar dan jalan raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nik Azhan memberitahu, tenaga pengajar institut memandu juga telah diperiksa bagi memastikan mereka merupakan pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu yang sah untuk mengajar calon-calon belajar memandu.
Ujarnya, JPJ akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan institut memandu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. -KOSMO! ONLINE