JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menghadiri upacara pecah tanah di Kawasan Titik Sifar Kilometer Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara semalam, lapor laman berita Merdeka.
Upacara digelar penyatuan tanah dan air itu dilakukan bersama-sama dengan 34 gabenor dari seluruh Indonesia serta 15 ketua masyarakat dari Kalimantan Timur.
“Hari ini, Isnin, 14 Mac 2022, kita berada di sini dalam rangka matlamat yang besar untuk memulakan pembinaan IKN.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua gabenor. Ini adalah satu bentuk kepelbagaian dan perpaduan yang kukuh antara kita demi membina ibu kota Nusantara ini,” kata Jokowi.
Tambah beliau, kerjasama antara pemerintah pusat dan tempatan, polis, pihak swasta serta masyarakat dalam menyokong pembangunan ibu negara baharu Indonesia itu amat membantu.
Jelas beliau, impian itu akan dapat direalisasikan tidak lama lagi.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada lembaga tinggi negara Majlis Musyawarah Rakyat, Dewan Perwakilan Rakyat, Dewan Perwakilan Daerah, Mahkamah Agung, Mahkamah Perlembagaan, Badan Audit Tertinggi, Badan Kehakiman dan semua penduduk dalam mendukung permulaan pembinaan ibu kota Nusantara,” ujar Jokowi.
Dalam pada itu, Jokowi bersama isterinya, Iriana Jokowi dilaporkan turut berkhemah di kawasan tersebut. – AGENSI