SEBERANG PERAI – Sembilan pekerja am yang juga digelar Wira Oren yang membantu seorang wanita mencari barang kemas miliknya di bawah timbunan 4 tan sampah pada bulan lalu menerima penghargaan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini.
Mereka menerima sijil penghargaan daripada Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad pada majlis Perhimpunan Korporat Bandaraya di Menara Bandaraya MBSP di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini.
Azhar berkata, ia sebagai menghargai pengorbanan kakitangan berkenaan yang menunjukkan integriti tinggi semasa menjalankan tugas dan galakan kepada petugas lain.
“Atas dasar amanah dan simpati, mereka berusaha dengan sepenuh tenaga mencari barang kemas itu sebelum dijumpai semula dalam longgokan sampah seberat 4 tan dalam tempoh dua jam.
“Saya berharap lebih ramai warga MBSP tidak hanya Wira Oren yang menunjukkan sikap seperti ini. Saya bangga kerana anda semua adalah sebahagian daripada keluarga MBSP,” katanya.
Tambah Azhar, MBSP amat memberi perhatian serius terhadap masalah integriti dan etika dalam kalangan warga kerja MBSP tanpa mengira barisan pembuat dasar, pentadbiran dan pengurusan tertinggi mahupun peringkat pelaksana.
Terdahulu, akhbar baru-baru ini melaporkan seorang anggota polis wanita menarik nafas lega apabila berjaya menemui semula dompet berisi barang kemas miliknya sepas secara tidak sengaja membuangnya bersama lampin pakai buang ke dalam tong sampah di Kuarters Balai Polis Telok Ayer Tawar, Butterworth di sini.
Penemuan itu hasil bantuan Wira Oren yang secara sukarela berusaha mencari semula dompet berkenaan di bawah timbunan sampah di Depo Operasi Pembersihan Tasek Gelugor di sini selepas menerima aduan wanita itu. – KOSMO! ONLINE