PETALING JAYA – Memiliki cinta daripada seorang lelaki yang menerima diri seadanya merupakan impian setiap wanita termasuk pelakon jelita, Intan Najuwa.
Menurut Intan Najuwa, dia mahu lelaki yang menjadi pendampingnya kelak menerima dirinya yang sebenar bukannya sebagai selebriti dikenali ramai.
Namun, pemilik nama lengkap Intan Najuwa Abdul Wahid, 25, itu enggan meletakkan sebarang sasaran dalam mana-mana hubungan cinta terutama daripada pasangan.
“Perkara paling penting ialah tidak meletakkan jangkaan terhadap pasangan. Jangkaan hanyalah satu syarat untuk mencintai seseorang.
“Cinta sebenar tiada syarat. Saya hanya inginkan seseorang lelaki yang menerima dan melihat diri sebenar di sebalik kemasyhuran yang dimiliki,” katanya.
Selama ini, pelakon drama Bunga Hati itu juga tidak meletakkan sebarang syarat dalam setiap hubungannya.
“Sejujurnya, saya juga tidak kisah tentang material (harta benda). Cinta sejati susah untuk diraih, kita cuma boleh berharap untuk menemuinya sekali dalam hidup atau mungkin tidak akan dapat,” katanya lagi.
Perkara itu dikongsi selepas Intan Najuwa diajukan soalan oleh pengikut Instagramnya mengenai sasarannya dalam sebuah hubungan cinta.
Intan pernah digosipkan menjalin hubungan cinta dengan aktor kacak, Zul Ariffin selepas mereka digandingkan bersama dalam beberapa buah drama.
Pelakon cantik itu pernah menerima hadiah senaskhah al-Quran daripada Zul sempena ulang tahun kelahirannya ke-24 pada tahun lalu.
Zul bagaimanapun menjelaskan hadiah tersebut hanyalah pemberian daripadanya kepada seorang sahabat.