SINTOK – Usaha gigih selama lapan tahun seorang pesara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meneruskan pengajian berbaloi apabila berjaya menerima ijazah doktor falsafah (PhD) Pengajian Sosial dari Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.
Lebih manis apabila Ismail Zakaria, 62, meraikan kejayaan itu bersama anaknya, Izati Khairul Nisa, 32, yang turut menerima Ijazah Sarjana Komunikasi Pengurusan UUM.
Menurut Ismail, dia berazam untuk memperoleh PhD kerana mahu bergelar pensyarah sejak kecil.
“Lapan tahun saya berjuang dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana saya juga bekerja sebagai pegawai JKM di Pokok Sena sebelum bersara.
“Lebih menggembirakan apabila anak saya turut menerima ijazah pada hari sama,” katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM di Dewan Muadzam Shah di sini.
Sementara itu, Izati Khairul Nisa berkata, kegigihan bapanya menjadi semangat untuk dia menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Insya-Allah selepas ini saya akan mengikuti jejaknya menyambung pengajian ke peringkat PhD juga,” katanya.
Seramai 4,025 graduan yang menamatkan pengajian pada 2020 menerima ijazah masing-masing pada majlis selama tujuh hari bermula semalam.
Majlis konvokesyen ini juga mencatatkan kenangan manis buat pasangan suami isteri berusia 36 tahun, Saufi Bukhari dan Husna Jamal Abdul Nasir yang menerima PhD dalam jurusan Sains Komputer.