PETALING JAYA – AEON CO. (M) BHD. (AEON) meneruskan usahanya memberi kemudahan kepada umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah korban tahun ini dengan membawa kembali Berkat Korban 2022.
Program ini merupakan satu inisiatif yang memberi peluang kepada umat Islam di Malaysia yang berdepan dengan kesulitan dalam melaksanakan ibadah korban terutamanya ketika negara masih berwaspada berdepan dengan pandemik Covid-19.
Ini merupakan tahun ketiga AEON melaksanakan program Berkat Korban yang telah mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak sebelum ini.
Untuk Berkat Korban 2022, AEON bekerjasama dengan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia Berhad (Koperasi GTR) dan Townfarm.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya mengunjurkan sebanyak 1,000 ekor lembu dan 200 ekor kambing untuk program ini.
Lebih menarik, program tahun ini memperkenalkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai ikon Berkat Korban 2022.
“AEON merupakan cawangan pusat beli-belah pertama di Malaysia yang memperkenal program seumpama ini.
“Kesemua daging korban akan melalui proses SOP yang ketat dan patuh syariah dalam memastikan umat Islam mengambil bahagian dan dapat melakukan ibadah tersebut dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Berkat Korban 2022 akan dilaksanakan di seluruh cawangan AEON, AEON BiG dan MaxValu. -KOSMO!ONLINE