fbpx

Aura memukau gaya merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONA merah jambu yang terang dapat menonjolkan sisi edgy.

Oleh FAIZAL HAMID

VARIASI rona merah jambu seperti rona ros lembut, fuchsia dan magenta terang menjadi warna pilihan di pentas peragaan antarabangsa. Rona feminin ini didatangkan dalam fabrik sutera, satin, sifon dan kait. Koleksi rekaan ditampilkan dalam rona merah jambu ini cukup segar, anggun serta penuh aura kewanitaan.

Dengan hanya satu sentuhan rona merah jambu, contohnya skaf, loafers, beg atau gincu secara automatik dapat menyerlahkan padanan pakaian serta menjadikan penampilan keseluruhan cukup chic, anggun dan ceria. Untuk penampilan lebih berani pula, padankan ia dengan denim atau jaket kulit.

Rona merah jambu cukup versatil, mantap serta hebat apabila dipadankan dengan rona khaki, biru kelasi (navy), mustard, merah, denim dan hitam. Paling penting, kita perlu bijak memilih rona merah jambu paling sesuai untuk tona kulit (skin tone) serta pilihan padanan yang boleh disuaikan bersama pakaian sedia ada.

Jika anda bertona kulit sedikit gelap, boleh cuba gayakan rona merah jambu terang. Sebaliknya jika tona kulit anda cerah, pilihan terbaik adalah rona merah jambu lembut.

Bagi yang dianugerahkan tona kulit antara gelap dan cerah, anda beruntung kerana sesuai gayakan hampir kesemua variasi rona merah jambu. Di sini saya titipkan informasi bagi menata gaya trend rona merah jambu.

1.Penampilan lebih ceria

Beg tangan merah jambu boleh menjadikan penampilan lebih ceria pada pakaian dalam warna neutral. Contohnya, gaun putih atau denim jean yang dipadankan dengan top putih atau khaki.

Untuk gaya anggun, pastikan anda memilih beg tangan dalam rona merah jambu lembut atau pastel. Padankan rona merah jambu dengan rona kontras seperti perak, jingga (orange) dan kuning.

Memadankan warna merah jambu dengan rona kontras yang menarik pasti menjadikan penampilan anda cukup cool & hip ketika berlibur di kota pada malam hari.

2. Padanan berbeza

Amalkan konsep less is more. Jika anda memakai top merah jambu, jangan padankan ia dengan seluar, skirt dan sebagainya dalam rona sama.

Jika anda masih juga mahu menggayakan keseluruhan padanan pakaian dalam warna merah jambu, pastikan memilih setiap padanan dalam rona atau tona merah jambu yang berbeza.

Jika kena gaya, padanan pakaian dalam variasi rona merah jambu pasti membuat penampilan lebih menyerlah dan menarik.

Contohnya, padankan kemeja merah jambu gelap dengan skirt rona merah jambu kemerahan.

3. Feminin, anggun

Bereksperimentasilah dengan gaya potongan gaun, rona merah jambu dan juga aksesori untuk mendapatkan gaya keseluruhan yang paling menyerlah.

Jika anda mahu kelihatan feminin dan anggun, pilihlah rona merah jambu lembut dan pastel.

Sebaliknya jika mahu mendapatkan gaya sedikit edgy, pilihan tepat pastinya rona merah jambu terang dan berani.

Sebagai contoh, padankan jaket kulit hitam dengan gaun merah jambu terang.

PADANKAN persalinan dengan rona-rona merah jambu berbeza.

4. Serlahkan penampilan

Untuk kelainan, gayakan tudung atau topi merah jambu.

Tudung bagaimanapun lebih mudah digayakan jika dibandingkan dengan topi. Jika anda mempunyai topi merah jambu yang cukup menarik, tiada siapa yang menghalang untuk menggayakannya.

Sememangnya pemakaian tudung atau topi adalah cara paling mudah, pantas, praktikal dan efektif untuk menyerlahkan penampilan.

5. Aksesori berbeza

Padankan rona merah jambu dengan warna-warna neutral lain.

Cuba gayakan satu statement piece merah jambu seperti kemeja, seluar atau jaket yang dipadankan dengan padanan pakaian dalam warna neutral seperti putih, hitam atau khaki.

Padankan jaket merah jambu dengan gaun putih atau skirt untuk kelihatan polished dan anggun.

Jika anda memakai pakaian merah jambu, untuk lebih menarik cuba gayakannya dengan aksesori dalam warna berbeza seperti rona emas, hitam, coklat atau perak.

——————————————————————————————————————————————————————————————————————FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan
Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,Selangor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI