JAKARTA – Sebuah video menjadi tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan situasi tiga peniaga cili ditengking oleh seorang pelanggan wanita kerana dituduh menipu sukatan timbangan, lapor laman berita Suara.com.
Video yang dirakam oleh pelanggan wanita itu dimuat naik pada akaun Instagram bernama @Andreli_48.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah pasar yang agak sesak itu, seorang wanita pergi ke sebuah gerai lalu memarahi tiga penjual cili di hadapan pelanggan-pelanggan lain.
“Hei perempuan, saya beli cili di sini dua minggu lepas. Timbangan cili merah kurang satu perempat,’’ kata pelanggan wanita itu kepada salah seorang peniaga.
Kata wanita berkenaan, sudah dua kali perkara itu berlaku. Bagi membuktikannya, dia menggesa peniaga tersebut mengeluarkan mesin penimbang untuk terus ditimbang di hadapannya.
Pelanggan itu menjerit beberapa kali dan menyatakan bahawa dia berasa kasihan dengan pelanggan-pelanggan lain yang tertipu. Setelah diselesaikan dengan cara baik, dia kemudian beredar sambil meminta pelanggan lain untuk tidak membeli barangan di gerai itu.
Muat naik itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Kuasa emak-emak,’’ tulis seorang netizen.
“Kalau betul timbangan kurang, berdosa besar, barang jualan pun tak berkat,’’ komen netizen lain. – Agensi