TEMERLOH – Sudahlah ditipu, diugut pula. Itu nasib malang yang menimpa seorang wanita dari Mentakab di sini selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.
Mangsa yang berusia 47 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai bunga pada mulanya melihat satu iklan pinjaman wang di media sosial Facebook pada 9 Mac lalu.
Mangsa kemudian menekan pautan pada iklan berkenaan sebelum dia dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Ellen dan selepas perbincangan, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM50,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa diminta membuat beberapa bayaran atas pelbagai alasan untuk mendapatkan pinjaman berkenaan.
“Dalam tempoh dua hari iaitu pada 11 dan 12 Mac lalu, mangsa telah membuat lima kali transaksi pemindahan wang ke dua akaun berbeza yang diberikan suspek berjumlah RM14,700.
“Selepas membuat semua bayaran berkenaan, suspek masih meminta mangsa membuat bayaran lagi sebanyak RM6,000 sebagai bayaran tambahan tetapi mangsa enggan berbuat demikian,”katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE>