fbpx

Harith berjaya bangkit raih mata di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARITH (depan) menampilkan aksi terbaik untuk meraih satu mata walaupun terpaksa memulakan saingan di petak belakang kategori CP125 di Litar Antarabangsa Sepang Utara semalam. – AMIR KHALID

PELUMBA pasukan Tobaki Pink Racing, Muhamad Harith Farhan Baharin berjaya mengutip satu mata selepas menamatkan perlumbaan sulung kategori CP125 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di tempat ke-15.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Utara itu, Harith memulakan saingan di petak ke-24 dan terpaksa bersaing dengan pelumba-pelumba di bahagian belakang.

Meskipun sedar mustahil untuk dia mengejar kedudukan podium pada perlumbaan tersebut, namun pelumba kelahiran Terengganu itu tidak berputus asa untuk sekurang-kurangnya menamatkan aksi dalam kedudukan mata.

Pengurus pasukan Pink Ra­cing, Nur Atikah Azwar menjelaskan, beliau cukup berpuas hati dengan tunggangan ditampilkan pelumba-pelumbanya pada perlumbaan itu kerana sasaran pasukan hanya untuk menamatkan saingan.

“Jangkaan kita memang untuk pelumba habiskan perlumbaan sahaja kerana masih banyak benda perlu diperbaiki memandang­kan pasukan mengubah beberapa pelarasan jentera bagi musim ini.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi pelumba-pelumba dalam kategori CP125 terutamanya Harith yang berjaya mengutip mata walaupun memulakan perlumbaan di petak belakang,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba CP125 Pink Racing, Saiful Azhary Mohamad gagal menamatkan perlumbaan selepas jenteranya mengalami masalah teknikal ketika saingan berbaki satu pusingan sahaja lagi.

Perlumbaan sulung musim 2022 itu dimenangi pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing, Mohd. Hafiza Rofa diikuti rakan sepasukan, Muhammad Shafiq Rasol di tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Muhammad Syafiq Rosli.

Selepas ini, Pink Racing pas­tinya mahu mengalihkan sepenuh perhatian ke arah perlumbaan pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 14 dan 15 Mei depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI