DI sebalik kehangatan dan kebangkitan kembali pemuzik rap dan hip-hop seperti nama-nama popular, K-Clique, Force Park Bois, Aman RA dan tidak kurang penyanyi solo seperti Zaynakal, Yonnyboii serta Bungaisme, segmen industri muzik hiburan tanah air yang satu itu terus gah diwarnai wajah baharu.
Memunculkan diri di tengah-tengah kehangatan energi muzik rap yang semakin mendunia ketika ini, seorang penyanyi muda wanita berbakat besar tampil berani menjual bakat.
Juki, sepotong nama yang barangkali masih asing tetapi kehadirannya diibaratkan seperti sebutir lagi bintang berbakat yang akan menjadi pelapis penyanyi rap wanita.
Teguh menjiwai seni muzik hip-hop, penyanyi wanita berhijab itu memegang latar belakang sebagai pemenang pertandingan rap Playaz Rap Challenge 2020.
Malah, perawan berwajah manis itu hakikatnya pernah muncul dalam lagu Dua Puluh bersama bintang-bintang hip-hop lain seperti Benzooloo, Siqma, Yonnyboii, Ical Mosh, Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Dia bahkan berkesempatan membuat kemunculan pada sambutan meriah ‘mini showcase’ kumpulan wanita yang sedang popular ketika ini, Dolla pada Februari lalu.
Berbekalkan pengalaman yang dimiliki, Juki kini bersedia memacu karier seninya secara komersial menerusi single debut berjudul Pacu.
Pacu merupakan susunan, terbitan dan gubahan Mingaling selain mendapat sentuhan lirik daripada garapan idea penyanyi Amir Hasan bersama Juki sendiri.
Bangkit semula
“Dalam Pacu, ada bayangan diri saya. Penceritaan berkisar tentang pencapaian matlamat dan motivasi diri. Saya ingin kongsikan pendapat saya dengan semua yang mendengar.
“Saya berikan segala-galanya untuk Pacu. Saya harap semua akan memahami pesanan yang cuba saya luahkan dalam lagu ini. Saya mahu semua orang sedar bahawa jika jatuh, mereka hanya perlu bangkit semula,” ujar Juki.
Bercerita lanjut tentang single perdananya, penyanyi itu berkata, Pacu sebenarnya siap dirakamkan pada tahun lalu.
Di sebalik pembikinan karya sulung berkenaan, ada kisah yang bermakna buat Juki. Dia terpaksa berdepan dengan sedikit cabaran menulis bahagian korus lagu.
“Kami mengambil masa sehari untuk menguruskan semuanya termasuklah dari segi kerja pemilihan lirik, selain cubaan memasukkan irama berkaitan dan melihat hasil akhir.
“Proses rakaman dilakukan pada hari kedua kerana saya mempunyai kesukaran menulis korus dan pre-hook lagu ketika itu. Setelah siap dengan ‘verse’, Amir menyelesaikan bahagian selebihnya. Hasilnya memang berbaloi,” tambah Juki.
Kongsi motivasi
Menumpahkan segenap rasa hati untuk kepuasan, Juki hanya mengharapkan kehadirannya dalam arena industri seni negara diterima ramai.
Dia bahkan meletakkan pengharapan agar karya sulungnya akan dihargai oleh semua pendengar.
“Banyak usaha di sebalik projek lagu ini. Saya harap motivasi serta cinta yang saya kongsikan akan dapat dirasai oleh semua yang mendengarnya,” kata Juki gembira.
Lagu Pacu mula dilancarkan menerusi semua platform penstriman digital bermula 11 Mac lalu, manakala video muzik rasmi dipertontonkan pada hari sama pukul 9 malam dalam YouTube rasmi Jukivevo.
Berbicara sedikit tentang video muzik Pacu, Juki berkata, proses penggambaran yang panjang membuka matanya tentang kerja keras pekerja di belakang tabir.
“Kami memulakan rakaman pada pukul 11 pagi dan selesai sekitar 11 malam pada hari sama.
“Saya ganti pakaian dan solekan beberapa kali semasa rakaman. Memenatkan. Itulah kali pertama saya lihat orang bekerja di belakang tabir. Kini saya mengerti kerja keras di sebalik semua itu,” ujarnya.