KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-12 yang juga bekas pegawai atasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diasak secara bertubi-tubi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung gaya hidup mewah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana syarikat itu.
Ini kerana kehidupan peribadi Jho Low itu termasuk berparti di atas kapal mewah bersama selebriti terkenal termasuk pelakon Miranda Kerr dan Paris Hilton dan pembelian `penthouse’ mewah di Singapura yang dilaporkan oleh pihak media.
Bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir, 49, berkata, beliau tidak mencurigai gaya hidup mewah Jho Low kerana perkara itu merupakan hak peribadi dan hanya menyedarinya sekitar tahun 2016 selepas beliau tidak lagi berkhidmat dengan 1MDB.
Ketika ditanya secara bertalu-talu oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, saksi berkata, beliau hanya beranggapan Jho Low sebagai wakil syarikat dan kehidupannya tiada kaitan dengan urus tadbir 1MDB.
Terdahulu peguam bela bertanya mengapa Azmi tidak mempersoal gaya hidup Jho Low yang disifatkan sebagai `pengarah bayangan’ dalam 1MDB, walhal syarikat itu semakin merudum.
Selain gaya hidup mewah, mahkamah turut diberitahu sebanyak AS$130 juta wang 1MDB dipindahkan ke dalam akaun syarikat Blackstone milik Jho Low pada Julai 2012.
Menjawab soalan Muhammad Shafee, Azmi menyatakan beliau tidak mengetahui perkara tersebut meskipun peguam bela menyatakan laporan mengenainya telah diketahui umum.
Beberapa transaksi lagi dipindahkan ke dalam akaun syarikat Capital Place Holdings yang dimiliki oleh Judy Chan yang merupakan bekas isteri bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner.
Muhammad Shafee turut menyatakan, sejumlah AS$576.9 juta telah diseleweng daripada 1MDB Energy manakala lebih daripada AS$400 juta dipindahkan ke dalam Blackstone.
Sewaktu dirujuk dengan carta aliran wang dalam 1MDB, Azmi menyatakan, bekas Perdana Menteri tidak menerima sebarang pemindahan wang manakala pihak yang mendapat faedah daripada penipuan itu adalah Aabar Investments PJS Ltd. dan Jho Low.
Ketika ditanya berhubung pembelian kapal layar mewah `Equanimity’, saksi menyatakan tidak tahu menahu berhubung perkara itu dan lembaga pengarah 1MDB juga tidak berbuat apa-apa mengenainya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan esok bagi pengurusan kes untuk memaklumkan perkembangan rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan. – KOSMO! ONLINE