TUNIS, TUNISIA – Penduduk di rantau Afrika Utara membuat pembelian panik dengan berpusu-pusu membeli tepung, semolina dan beberapa makanan ruji lain ekoran kebimbangan terhadap peningkatan harga makanan disebabkan oleh peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Situasi itu kini bertambah buruk dalam tempoh beberapa minggu sebelum kedatangan bulan Ramadan ketika orang ramai bersiap sedia menyambut puasa.
Tunisia, Maghribi dan Libya serta beberapa negara Arab lain mengimport sebahagian besar gandum dari Ukraine dan Rusia.
Ekoran itu, terdapat kebimbangan bahawa konflik kedua-dua negara itu boleh membawa kepada krisis kebuluran di negara-negara Arab.
Di sebuah pasar raya di Tunis, rak kelihatan kosong dengan produk makanan ruji seperti gandum dan gandum butir atau semolina habis ‘diborong’ pembeli. Gula pula dilaporkan hanya tinggal tiga bungkus dengan terdapat notis bertulis “1 kilogram untuk seorang pelanggan”.
Seorang pengurus kedai berkata, masalah itu adalah disebabkan oleh pembelian panik, dan bukannya kekurangan bekalan.
Bagi pembeli pula, Houda Hjeij, 52, selama dua minggu, dia gagal menjumpai beras atau tepung di kedai-kedai. Dia turut menyalahkan pihak berkuasa bagi keadaan itu.
“Dengan peperangan yang berlaku di Ukraine, pihak berkuasa tidak melakukan persiapan untuk situasi ini,” kata suri rumah berkenaan.
Sementara itu, ketua sebuah kesatuan pemilik pasar raya di Tunisia, Hedi Baccour memberitahu, jualan harian semolina yang merupakan bahan makanan ruji di Afrika Utara melonjak 700 peratus dalam beberapa hari ini.
“Jualan gula pula meningkat tiga kali ganda kerana penduduk meningkatkan pembelian stok makanan. Saya juga terpaksa membayar harga dua kali ganda untuk menambah bekalan stok minyak masak dan semolina di kedai,” ujarnya.
Tunisia mengimport hampir separuh daripada gandum lembut dari Ukraine yang digunakan untuk menghasilkan roti. Pihak berkuasa negara itu bagaimanapun berkata, ia mempunyai bekalan mencukupi untuk tiga bulan.
Selain itu, Libya menerima kira-kira 75 peratus bekalan gandum dari Rusia dan Ukraine. Maghribi pula turut banyak bergantung bekalan sumber bahan makanan yang sama dari kedua-dua negara itu.
Dalam pada itu, laporan sebelum ini menyebut bahawa harga makanan telah pun mengalami peningkatan di Afrika Utara sebelum Rusia menyerang Ukraine.
Pegawai dari Maghribi, Fouzi Lekjaa, menyalahkan situasi itu ke atas pemulihan ekonomi global selepas mengalami kemorosotan akibat pandemik.
“Disebabkan pemulihan tersebut, harga pasaran bagi bijirin dan produk-produk berasaskan minyak melonjak,” katanya. – AFP