fbpx

Perang tidak jejas trafik maritim di Terusan Suez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPAL kontena MV Ever Green berlayar di sepanjang Terusan Suez berhampiran bandar Ismailia, Mesir pada 7 Julai 2021. – AFP

KAHERAH – Kerajaan Mesir menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa peperangan antara Rusia dan Ukraine telah menjejaskan trafik maritim di Terusan Suez, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) berkata, aktiviti perdagangan utama di laluan itu sebaliknya mencatatkan rekod tertinggi pada Februari lepas dari segi kadar transit kapal dan berat bersih muatan.

“Sebanyak 1,713 buah kapal melalui Terusan Suez dari kedua-dua arah dengan berat bersih 100.1 juta tan pada Februari lepas. Angka itu adalah berbanding 1,532 buah kapal yang melalui terusan ini pada Februari tahun lalu dengan berat bersih 97.6 juta tan,” kata SCA.

Sementara itu, kadar prestasi bagi Februari tahun ini adalah yang tertinggi dalam sejarah Terusan Suez, dengan perolehan melonjak sebanyak 15.1 peratus kepada AS$545.5 juta (RM2.3 bilion), tidak termasuk perkhidmatan navigasi.

Angka itu lebih tinggi berbanding AS$474.1 juta (RM2 bilion) yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Kadar transit pelbagai jenis kapal pula mengukuh berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan bilangan kapal pukal bertambah 29 peratus, kapal kontena melonjak 11.8 peratus dan kapal pengangkut kereta meningkat 22.2 peratus.

Menurut SCA, dasar pemasaran dan penetapan harga yang fleksibel telah menggalakkan syarikat-syarikat perkapalan baharu untuk melalui terusan itu.

Bagi tahun penuh 2021, Terusan Suez mencatatkan perolehan berjumlah AS$6.3 bilion (RM26.4 bilion) meskipun dalam keadaan ekonomi global yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI